TAWAU 28 Feb. - Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) perlu bertindak proaktif dengan menjadi pelopor dalam proses pembangunan dan perkembangan potensi gadis-gadis remaja di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, dalam melahirkan remaja yang berkualiti persatuan itu perlu bergerak seiring dengan perkembangan semasa.
"Berdasarkan peredaran zaman sudah tentunya keadaan psikologi dan pertumbuhan minda para remaja perempuan sudah jauh berbeza berbanding masa lalu.
"Jadi program dan aktiviti Pandu Puteri juga perlu dirancang supaya selaras dengan perubahan yang berlaku agar dapat membantu remaja menggalas tanggungjawab bagi mencapai matlamat persatuan Pandu Puteri dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peringatan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Sabah di Padang Perbandaran Tawau di sini hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya PPPM Tawau, Shamsiah Bahrom dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tawau, Md. Syaiful Foo.
Menurutnya, sejak ditubuhkan Pandu Puteri telah memberikan sumbangan besar dalam mengukuhkan perpaduan nasional dan mewujudkan kehidupan yang aman dan sejahtera.
Justeru katanya, peranan persatuan itu perlu diperkembang dan diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa.
"Sejak awal penubuhan, Persatuan Pandu Puteri menjadi wadah untuk pertemuan dan kegiatan wanita dan anak-anak gadis dari semua keturunan yang menjadi anggota masyarakat negara kita ini," katanya.
Dalam pada itu Hamisa meminta persatuan itu mengadakan aktiviti yang mampu menyerlahkan peranannya dalam masyarakat.
Justeru katanya, pemimpin Pandu Puteri perlu memikirkan secara serius aktiviti dan rancangan persatuan itu dari semasa ke semasa.
"Para pemimpin Pandu Puteri juga perlu lebih berani dalam menyahut cabaran untuk terus kekal sebagai pertubuhan yang disegani dan berwawasan.
"Adalah menjadi harapan saya agar dalam merancang aktiviti untuk 2011 dan tahun-tahun seterusnya, persatuan dapat memperluaskan aktiviti hingga ke peringkat global," ujarnya
No comments:
Post a Comment