TAWAU: Semangat kesukarelaan harus disemai ke dalam diri generasi muda sejak mereka masih di bangku sekolah, kata Pembantu Menteri Kewangan Datuk Tawfiq Datuk SP Abu Bakar Titingan.
Katanya, penyertaan ke dalam persatuan-persatuan beruniform adalah antara cara terbaik bagi menyemai semangat itu selain memupuk nilai-nilai positif yang lain.
“Dengan menyertai persatuan beruniform, anak-anak kita turut dapat dibentuk menjadi insan yang berdisiplin, berdaya saing serta mempunyai daya kepimpinan,” katanya.
Menurutnya, kesemua nilai positif tersebut tidak dapat diterapkan secara terus melalui kelas-kelas pengajian, melainkan menerusi aktiviti-aktiviti luar kelas yang berfaedah dan sistematik.
Beliau berkata berkata demikian ketika merasmikan Program Kem Tunas Puteri SK Bandar 2, di Kompleks Sukan Tawau, di sini.
Ketika berucap, beliau turut menyeru golongan ibu bapa supaya menyokong penglibatan anak-anak mereka ke dalam aktiviti-aktiviti luar kelas anjuran pihak sekolah.
Sokongan dan kepercayaan mereka jelasnya, tidak harus hanya diberikan kepada anak-anak malah kepada guru pembimbing yang bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka.
“Kita berharap melalui aktiviti-aktiviti sebegini, anak-anak kita dapat dibentuk menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.
Menyentuh program itu, beliau memuji SK Bandar 2 kerana berjaya menganjurkan program terbabit.
Turut hadir ialah Pesurujaya Pandu Puteri Daerah Tawau, Shamsiah Bahrun.
No comments:
Post a Comment